Ni plak artikel ke 2 yang tersiar di Utusan Malaysia dan Berita Harian pada 7 Februari 2008
Persoal ruang menunggu KL Sentral ditutup tengah malam
SELEPAS menyertai ribuan warga kota menyambut Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari lalu di Stadium Bola Sepak Cheras, saya bersama abang saya telah bergegas ke Stesen KL Sentral untuk mengambil bas atau tren komuter ke Shah Alam.
Namun oleh kerana masalah kesesakan jalan raya, kami telah lewat tiba di stesen tersebut. Tren komuter dan bas ke Shah Alam tamat perkhidmatannya menjelang hampir tengah malam.
Oleh kerana tiada pilihan lain, kami pun terpaksa berehat dan menunggu tren komuter di ruang menunggu KL Sentral.
Ruang itu cukup selesa kerana mempunyai kemudahan tempat duduk. Namun tiba-tiba seorang anggota polis meminta kami dan beberapa orang yang berada di situ keluar dari ruang tertutup di KL Sentral.
Beliau meminta kami menunggu di kaki lima KL Sentral berdekatan kawasan hentian teksi. Kami pun mematuhi arahan berkenaan.
Ketika saya meminta penjelasan daripada anggota polis berkenaan, beliau hanya menjawab KL Sentral ditutup pada tengah malam.
Timbul persoalan di hati saya, bukankah KL Sentral bertaraf antarabangsa dan tren sentiasa tiba dan berlepas tanpa mengira waktu? Untuk apa disediakan ruang menunggu yang selesa jika tidak dapat digunakan oleh orang awam?
Tambah menyakitkan mata memandang apabila melihat ramai orang awam yang sedang menunggu tren tidur bergelimpangan di atas lantai di luar Stesen KL Sentral.
Keadaan di luar pula sejuk dan berangin. Apa pula pandangan pelancong apabila mereka melihat atau terlibat dalam situasi ini?
Seperkara lagi yang menghairankan, terdapat sebuah restoran makanan segera dan sebuah kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam di stesen yang kononnya ditutup pada waktu tengah malam itu.
– MOHD. REZZ,
UiTM, Shah Alam.
Rujuk pada link di bawah;
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2008&dt=0207&pub=utusan_malaysia&sec=forum&pg=fo_04.htm&arc=hive
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment