Saturday 12 July 2008

Jeffrey Kitingan membelakangkan aspirasi penduduk Labuan


Ni artikel ke 3 ku yang sudi disiarkan oleh editor di Utusan Malaysia (29 Feb 2007) dan Berita Harian


Jeffrey Kitingan membelakangkan aspirasi penduduk Labuan

KENYATAAN yang dibuat oleh Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Jeffrey Kitingan dalam manifesto pilihan raya parti itu mengenai penyerahan semula Labuan kepada Sabah adalah sesuatu yang membelakangkan aspirasi penduduk Labuan sendiri.

Beliau juga mendakwa penyerahan Labuan kepada Kerajaan Persekutuan tidak mendapat persetujuan rakyat Sabah. Ternyata kenyataan itu cuba mengelirukan rakyat.
Perkara tersebut bukan isu kerana penduduk Labuan sendiri setuju dan gembira dengan taraf Wilayah Persekutuan.

Mungkin beliau dan PKR tidak mengkaji sejarah mengenai kemasukan Labuan ke dalam Sabah pada tahun 1946 juga dilakukan oleh pihak British tanpa berunding dengan penduduk Labuan.
Keputusan yang dilakukan oleh kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Haris Salleh pada tahun 1984 adalah amat tepat.

Labuan kini berdiri sama tinggi kedudukannya dengan kawasan lain di Malaysia. Maka adalah sesuatu yang tidak masuk akal untuk memberikan semula taraf sebuah ‘daerah’ kepada pulau ini.

Tambahan lagi, Kerajaan Persekutuan telah dan akan membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk Labuan. Tentunya peruntukan sebesar ini tidak akan diperoleh jika Labuan hanya berstatus sebuah daerah dalam negeri Sabah.

Sesungguhnya saya dan puluhan ribu penduduk Labuan amat bangga bernaung di bawah panji Wilayah Persekutuan.
Hanya penduduk Labuan sendiri sahaja yang berhak menentukan masa depan pulau ini dan bukan pihak-pihak luar yang mempunyai agenda tersirat.

– ANAK JATI,
Labuan.

Rujuk pada link di bawah,

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2008&dt=0229&pub=utusan_malaysia&sec=forum&pg=fo_02.htm&arc=hive

No comments: