Sunday 20 July 2008

UiTM Sabah : Bilik Bacaan 1

Masih mengenai UiTM Sabah, walaupun hanya 1 semester sahaja berada di sana, tapi banyak pengalaman berharga yang aku perolehi. Banyak juga masalah (ataupun lebih tepat lagi cabaran) yang membuatkan aku berfikir panjang.

Aku kah yang salah, mereka atau sistem? Aku hanya mengharapkan yang terbaik untuk pengajian ku, dan mereka juga ku rasa cuba melakukan yang terbaik atas nama tugas dan tanggungjawab yang mereka pikul.

Peristiwa ni aku namakan Peristiwa Bilik Bacaan...hehe..memang aneh sedikit la bunyinya...

Begini jalan ceritanya.. aku time di Shah Alam sewaktu pengajian Asasi dulu memang pengunjung setia bilik bacaan (study room) di Kolej Perindu. Sebab bagiku bilik bacaan yang lengkap dengan meja dan kerusi serta suasana yang kondusif seperti itu memudahkan aku belajar.

Setelah berpindah ke UiTM Sabah, aku dapati di kolej kediaman tidak disediakan bilik khas untuk belajar (yang ku panggil bilik bacaan). Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Penolong Pengurus Kolej.

Atas sebab itulah, maka aku meminta kebenaran pihak kolej untuk belajar di bilik kuliah yang terdapat di tingkat bawah blok Cluster B. Penolong Pengurus pun memberi kebenaran secara lisan kepada ku.
Maka aku pun selalu lah berkunjung ke bilik itu pada waktu malam untuk mengulangkaji pelajaran.

Tiba-tiba pada suatu malam, kira-kira pukul 12.30 tengah malam, datang lah 2 orang pengawal keselamatan (guard) ke bilik itu. Mereka bertanya apa yang ku buat di bilik tersebut lewat malam begini.

"Belajar", jawabku.

"Kamu tau ka ni sudah pukul berapa?" tanya pak cik guard.

"Kenapa pak cik?" tanya ku, sopan.

"Ni sudah masuk silence hour ni. Mesti masuk bilik. Mana boleh kamu berada di sini" kata guard tu.

"Tapi saya dapat kebenaran dari unit kolej pak cik" jawab ku.

"Ada surat?" tanya nya.

"Tiada. Tapi memang Penolong Pengurus sendiri yang bagi kebenaran pada saya." kata ku membela diri.

"Arahan yang kami terima, semua pelajar mesti berada di bilik selepas pukul 11 malam" kata mereka lagi dengan tegas tetapi tidak kasar.

Kerana tidak ingin bertengkar dengan guard, maka aku pun balik la ke bilik dengan rasa tidak puas hati.

Keesokan harinya, aku pun berjumpa dengan Penolong Pengurus mengenai hal ini. Namun jawapan yang ku terima amat menghampakan hati dan jiwa.

"Memang, selepas silence hour, pelajar mesti berada di bilik masing-masing. " kata beliau sekaligus menyokong dakwaan pak cik guard. Aku pun keluar dari bilik beliau dengan rasa yang tidak terungkap. Ku sangka dia akan memberi kebenaran kepadaku untuk terus belajar di bilik bacaan walaupun ketika silence hour. Tapi sangkaan ku meleset.

Maka hairanlah diriku...kenapa sewaktu aku belajar di UiTM Shah Alam dulu perkara seperti ini tidak berlaku? sewaktu di kolej Perindu para pelajar boleh belajar di bilik bacaan selama mana yang mereka mahu dan pada bila-bila masa jua pun. Tiada pula istilah silence hour.

Bagi ku tindakan pihak-pihak yang berkuasa ini umpama menghalang pelajar yang ingin belajar. Aku kira mereka faham kadang-kadang suasana bilik tidur tidak sesuai untuk pembelajaran yang efektif. Maka, kenapa tidak boleh bertolak ansur? Kat dalam bilik bacaan tu pun kami belajar. Bukan buat perkara yang tak elok.

Mereka behujah bahawasanya dalam Akta Institusi-institusi Pelajaran (Tatatertib)1976 atau lebih popular sebagai Akta 174 ada disebut mengenai larangan ini.

Memang benar, tidak aku nafikan bahawasanya di bawah Kaedah 27 Kaedah-kaedah Institusi Pelajaran (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1976 ada suatu peruntukkan yang berbunyi:

" Seseorang pelajar menetap tidak boleh berada di luar asrama selepas pukul 11.00 malam kecuali dengan kebenaran yang diberi oleh atau bagi pihak warden".

Bagi ku, peruntukkan undang-undang itu jelas lagi nyata. Perkataan yang disebut dalam Kaedah 27 itu adalah asrama bukan bilik. Maka bilik bacaan itu juga merupakan sebahagian daripada asrama. Pada pendapatku, pihak pentadbir telah tersalah tafsir Kaedah 27 itu dengan menyempitkan makna asrama kepada bilik.

Menurut pentadbir, pelajar harus berada di bilik selepas pukul 11 malam. Sedangkan menurut undang-undang pelajar perlu berada di asrama selepas pukul 11 malam. Dua ayat yang membawa makna yang berbeza. Asrama dan bilik ??? Lain maknanya tue...

Maka, keberadaan ku di bilik bacaan Cluster B itu pukul 11 malam adalah sah di sisi undang-undang kerana bilik bacaan juga merupakan sebahagian daripada asrama.

Akhirnya aku menarik nafas lega kerana Penolong Pendaftar HEP yang ku hubungi telah bersetuju dengan ku akan tafsiran Kaedah 27 tersebut. Beliau berkata memandangkan bilik bacaan tersebut berada di bangunan asrama (kolej), maka bilik itu merupakan sebahagian daripada asrama menurut takrifan undang-undang.

Oleh sebab itu, tidaklah salah seandainya aku berada di bilik tersebut sewaktu silence hour. Seterusnya beliau telah memberi kebenaran dan memaklumkan kepada ketua unit keselamatan mengenai kekeliruan tersebut.

Terima kasih kepada Puan Penolong Pendaftar yang prihatin akan masalah pelajar.

No comments: