Saturday 12 July 2008

Hormati status Labuan sebagai Wilayah Persekutuan

ni plak post ku yang keempat dan terbaru di Utusan Malaysia dan Berita Harian pada 10 Julai 2008

Hormati status Labuan sebagai Wilayah Persekutuan

SAYA tertarik untuk memberi komen mengenai kenyataan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee yang sejak akhir-akhir ini kerap mendesak agar Labuan dikembalikan kepada Sabah.

Selaku anak jati Labuan, saya merasakan kenyataan tersebut sebagai penghinaan kepada penduduk Labuan yang sememangnya menyokong penuh taraf Wilayah Persekutuan yang dinikmati sejak 24 tahun yang lalu.

Pada saya Teck Lee tidak berhak berkata sedemikian kerana beliau bukanlah penduduk Labuan. Kenyataan tersebut seolah- olah menggambarkan Labuan seperti buah catur yang boleh dialih-alihkan mengikut kehendak pemain. Labuan adalah pulau yang berpenghuni dan kehendak rakyat di pulau tersebut harus dihormati.

Untuk mendapat gambaran yang lebih jelas maka Teck Lee bolehlah datang sendiri ke Labuan dan bertanyakan pendapat penduduk asalnya mengenai perkara ini.
Tidaklah sukar bagi beliau untuk datang ke Labuan kerana kerajaan Persekutuan telah membina lapangan terbang dan terminal feri yang bertaraf antarabangsa di pulau tersebut. Tentunya lebih elok kiranya Teck Lee turut meluangkan masa meninjau pembangunan yang telah dijalankan oleh Kerajaan Persekutuan di Labuan.

Saya kira beliau sedar bahawasanya kemajuan Labuan di bawah pentadbiran Kerajaan Persekutuan juga membawa kebaikan bukan hanya kepada penduduk Labuan bahkan juga penduduk Sabah.

Semenjak Perjanjian Labuan 1984 ditandatangani, tiada rakyat Sabah mahupun Labuan yang sengsara kerana taraf Wilayah Persekutuan ini. Tiada rakyat Sabah yang dihalang daripada memasuki pulau tersebut. Tiada rakyat Sabah yang didiskriminasi oleh Kerajaan Persekutuan di Labuan. Sesungguhnya kerajaan Persekutuan tidaklah pernah bersikap kenegerian. Semua rakyat Malaysia di Labuan dilayan dengan sama rata tanpa mengira negeri asal mereka . Bahkan banyak peluang pekerjaan dan jawatan tinggi baik dalam sektor awam mahupun swasta yang diisi oleh rakyat Sabah.

Tambahan pula, penyerahan Labuan kepada Kerajaan Persekutuan adalah atas kerelaan dan persetujuan kerajaan Negeri Sabah sendiri.
Tidak keterlaluan jika saya sifatkan kenyataan dan tuntutan Teck Lee sebagai perbuatan mengeruhkan air yang jernih kerana hubungan antara Sabah dan Labuan adalah terjalin akrab selama ini.

Saya berharap beliau dan mana-mana pihak jua pun berhentilah daripada mengungkit perkara yang boleh melukakan hati penduduk Labuan. Negeri Sabah amat luas maka janganlah pulau Labuan yang kecil ini direbutkan. Banyak perkara lain yang lebih bermanfaat kepada rakyat negeri ini yang boleh dilakukan.

Sesungguhnya saya amat bersyukur dengan status Wilayah Persekutuan yang telah membawa banyak kemajuan kepada pulau ini. Saya percaya puluhan ribu rakyat Labuan dan rakyat Malaysia lainnya juga merasa begitu. Maka status Labuan sebagai sebuah Wilayah Persekutuan seperti yang tercatat dalam Fasal 4 Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan itu haruslah dihormati oleh semua pihak.

ANAK JATI LABUAN
Kampung Nagalang, Labuan

Rujuk pada link di bawah,

http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2008&dt=0710&pub=utusan_malaysia&sec=forum&pg=fo_03.htm&arc=hive

No comments: