Friday 25 July 2008

Perjanjian Labuan 1984

Ucapan Perdana Menteri Sempena Upacara Menandatangani Perjanjian Labuan 1984


Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala yang telah melimpahkan rahmat serta hidayatNya ke atas kita semua sempena peristiwa bersejarah yang berlangsung pada pagi ini.

2. Upacara menandatangani Perjanjian Labuan telahpun disempurnakan oleh saya dengan Y.A.B. Ketua Menteri Sabah, dengan disaksikan oleh Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara bagi pihak Kerajaan Persekutuan dan Yang Berhormat Setiausaha Kerajaan Sabah bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah.

3. Kelahiran Wilayah Persekutuan Labuan pada hari ini membawa erti yang amat besar bukan sahaja bagi kita semua tetapi juga bagi generasi yang akan datang. Ia mempunyai erti yang besar kepada kita semua oleh kerana ia merupakan satu lagi kejayaan yang boleh kita banggakan dalam perkembangan dan kemajuan negara ini sejak tertubuhnya Malaysia dahulu.

4. Sememangnya menjadi hasrat kita semua untuk menjalin dan mengeratkan lagi kemesraan sesama kita di Semenanjung, di Sabah dan di Sarawak. Walaupun kita terpisah agak jauh oleh Laut Cina Selatan, tetapi ini tidak seharusnya menjadi sebab mengapa kita terasa berbeza atau terasing di antara satu sama lain. Memang ada jalan untuk meluputkan perasaan itu dari sanubari kita sekiranya kita berusaha mencarinya.

5. Saya yakin pewujudan Wilayah Persekutuan Labuan adalah merupakan satu usaha yang positif dan konkrit ke arah mencapai matlamat integrasi dan perpaduan negara yang kita semua harapkan. Saya berdoa ke hadrat Ilahi supaya kita semua -- baik di Semenanjung, di Sabah dan di Sarawak -- akan sentiasa berdiri teguh, sehati dan sejiwa sebagai rakyat Malaysia. Kita tidak seharusnya terlalu sensitif dan mudah tersinggung. Inilah yang menjadi harapan dan impian kita semua yang ikhlas bagi negara ini, agar pada satu hari nanti, perasaan perbezaan dari segi perkauman, bangsa, agama dan kenegerian atau kewilayahan yang berunsur negatif akan lenyap dari bumi Malaysia, negara yang kita kasihi ini.

6. Bagi pihak Kerajaan Persekutuan, saya mengambil kesempatan ini untuk menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri Sabah yang telah bersetuju menjadikan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan. Sesungguhnya ini adalah satu pengorbanan yang amat besar di pihak Kerajaan Negeri Sabah yang telah mengenepikan kepentingan sendiri demi untuk kemajuan dan kesejahteraan negara dan rakyat. Semangat pengorbanan ini sudah menular dan tidak lama lagi Pahang pula akan menandatangani perjanjian yang sama.

7. Kepada rakyat Malaysia yang tinggal di Pulau ini, saya suka memberi jaminan bahawa hak keistimewaan mereka tidak sedikitpun akan berubah atau terjejas dengan berubahnya kedudukan Labuan menjadi Wilayah Persekutuan. Kehidupan mereka dan begitu juga pentadbiran dan aktiviti-aktiviti harian di Labuan akan terus berjalan seperti biasa berasaskan kepada undang-undang yang sedia wujud di Pulau ini. Untuk maksud ini Kerajaan telah membuat tawaran penyerapan kepada pegawai-pegawai dan kakitangan-kakitangan Kerajaan Negeri Sabah yang berkhidmat di Pulau Labuan agar mereka dapat terus menyumbangkan khidmat mereka di Labuan, yang kini menjadi Wilayah Persekutuan. Perkhidmatan mereka adalah perlu bagi membantu menjayakan rancangan-rancangan pembangunan yang diatur oleh Kerajaan untuk Wilayah Persekutuan Labuan.

8. Rakyat Malaysia di Labuan juga tidak seharusnya berasa bimbang yang mereka akan kehilangan wakil di Parlimen. Ulangkaji persempadanan kawasan pilihanraya yang sedang dijalankan pada masa ini akan memperuntukkan satu bahagian pilihanraya Parlimen diwujudkan untuk Wilayah Persekutuan Labuan, tanpa menjejaskan jumlah bilangan bahagian pilihanraya Parlimen Sabah sekarang. Ulangkaji tersebut juga akan membuat peruntukan supaya bilangan bahagian-bahagian pilihanraya Negeri Sabah akan tetap sama bilangannya seperti sekarang ini.

9. Sememangnya menjadi salah satu matlamat Kerajaan Persekutuan untuk berusaha memajukan Labuan sebagai satu pusat pentadbiran dan pertumbuhan yang dinamik. Bersesuaian dengan matlamat ini, Kerajaan akan terus memperkukuh dan memperkembangkan Pulau ini bukan sahaja sebagai sebuah pusat pelancungan yang benar-benar menarik, tetapi juga sebagai sebuah pusat 'entrepot' yang penting di ASEAN, sesuai dengan kedudukannya sekarang sebagai sebuah pelabuhan bebas cukai. Usaha ini dijangka akan menggerakkan lagi pertumbuhan pelbagai aktiviti ekonomi yang akan menambahkan peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan di Labuan. Semuanya ini adalah dalam rancangan Kerajaan Persekutuan yang akan berusaha untuk mencorak dan memesatkan lagi pembangunan Pulau ini agar ia menjadi daya penggerak kepada pembangunan di rantau ini. Hasil dari semua usaha ini sudah tentu akan mendatangkan faedah yang besar kepada rakyat Malaysia di rantau ini, khasnya yang berada di Labuan sendiri, serta di Sabah dan juga di Sarawak.

10. Saya mempunyai penuh keyakinan dengan penubuhan Wilayah Persekutuan ini. Labuan akan terus maju dan makmur, menjadi lambang perpaduan di antara rakyat Malaysia di Semenanjung, di Sabah dan di Sarawak bagi mencerminkan kemajuan bangsa dan negara Malaysia yang setanding dengan negara-negara lain yang maju di dunia ini.

11. Saya berdoa mudah-mudahan Allah Subhanahu Waatala akan memberkati segala usaha kita dan memberikan perlindungan serta taufik dan hidayatNya kepada kita semua pada setiap masa.

12. Dengan ini, saya dengan sukacitanya mengisytiharkan iaitu mulai dari hari ini, 16 haribulan April 1984, bersamaan dengan 14 haribulan Rejab Tahun Hijrah 1404, Wilayah Persekutuan Labuan ditubuhkan.

13. Semoga Wilayah Persekutuan Labuan ini berkekalan sebagai simbol perpaduan, keamanan dan kemakmuran bagi rakyat Malaysia untuk selama-lamanya.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

YAB Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad,
Perdana Menteri Malaysia.

2 comments:

Mr. Inersia said...

dari mana ko dpt text tu?aku mau lah

Rezz said...

yg banarnya batah sdh ku save ni dlm laptop. xsilap ku dr arkib.. ambil ja la yg d blok ku ni.. versi ori ni nada edit2 ah