Thursday 17 July 2008

YAM Permaisuri Siti Aishah

Saya bukan selebriti







BELIAU menyepi tanpa berita sejak kemangkatan suami tercinta, Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 21 November 2001.

Pemergian Almarhum Sultan Salahuddin ke rahmatullah pada tarikh itu cukup menyedihkan rakyat jelata.

Namun apa yang kekal di mata penulis hingga ke hari ini ialah imej isterinya, Raja Permaisuri Agong ketika itu, Permaisuri Siti Aishah meratapi kematian suaminya sewaktu berarak di belakang jenazah.

Beliau yang mendirikan rumah tangga dengan Sultan Selangor pada tahun 1990 sewaktu baru berusia 19 tahun dan menjadi Raja Permaisuri Agong termuda sembilan tahun kemudian, kini keseorangan.

Kehilangan suami pada usia yang cukup muda, masa depan beliau menjadi tanda tanya rakyat sejagat.

Permaisuri Siti Aishah yang berasal dari Kuala Lumpur seterusnya hilang dari mata rakyat begitu sahaja dan tidak lama kemudian desas-desus mengenai dirinya mula timbul.

Ada yang mengatakan beliau sudah berhijrah ke luar negara dan ada pula yang mendakwa beliau telah mendirikan rumah tangga dengan anak seorang kenamaan.

Khabar angin itu dimatikan dengan kenyataan bapa Siti Aishah, Datuk Seri Abdul Rahman Mohd. Yatim pada hari terakhir tahun 2002 bahawa kesemua itu tidak benar sama sekali.

Tegas beliau, anakandanya itu tidak merancang untuk berkahwin semula pada masa terdekat itu.

Tiada yang kedengaran daripada bekas Raja Permaisuri Agong dengan kulit kuning langsat itu sehinggalah beliau muncul di khalayak ramai pada 3 Disember lalu pada majlis perasmian Kem Hafazan al-Quran 2005 di ibu kota.

Dengan berpakaian kebarung dan bertudung kemas, kehadirannya disambut meriah dan dipaparkan pada muka depan akhbar tempatan, bukti kepada kerinduan rakyat serta pihak media kepada perihal dirinya.

Sejak itu, dirinya mula kelihatan dengan kehadiran di majlis perasmian Konvensyen dan Pameran Batik Antarabangsa Kuala Lumpur 2005 enam hari kemudian dan terbaru, di majlis pelancaran produk sistem penapisan air Beleza D’Agua di ibu kota pada 16 Julai lalu.

Peluang bertemu dengannya tidak dilepaskan dan wartawan Mingguan Malaysia dihantar ke majlis tersebut untuk mendapatkan khabar beritanya.

Seperti dahulu, beliau masih tampil segak dan jelita dengan pakaian kebarung berlabuci berwarna oren dan ungu dengan padanan beg tangan serta kasut yang sedondon.

Meskipun bersolek tipis, personanya begitu menawan kerana senyuman tidak pernah lekang dari bibirnya sepanjang majlis.

Dengan diiringi ayahandanya, bondanya, Datin Seri Shamsinar Abdul Rahman dan adindanya, Elly Nur Arafah, beliau memperlihatkan perwatakan yang cukup ceria, petah berbual dan sudi melakukan aksi-aksi yang dikehendaki pada majlis perasmian.

Selesainya jamuan makan, kami berpeluang menemu ramahnya di bilik VVIP.

Setelah bersalaman bersama pemberita, Permaisuri Siti Aishah yang duduk penuh ayu memulakan bicara dengan memuji tahap pencapaian syarikat pengeluar produk itu.

“Ini merupakan satu titik bersejarah bagi negara kerana Beleza World Import Export dan Kuala Lumpur International Import Export merupakan satu-satunya syarikat tempatan yang berjaya memperkenalkan produk ke pentas dunia.

“Tahap pencapaiannya amat membanggakan dan saya melihatnya sebagai menyambut jihad ekonomi yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi,’’ ujarnya bersemangat.

Topik perbualan kemudiannya dikembangkan dengan beliau menyaran rakyat agar mengambil air yang mencukupi sebagai memenuhi pendekatan kesihatan holistik.

“Saya percaya kepada pendekatan tradisional dan moden dalam meningkatkan kesihatan seseorang.

“Kita perlu bersungguh-sungguh melakukan perkara yang dapat membawa manfaat kepada diri sendiri,’’ katanya.

Beliau dalam hal ini menyifatkan penglibatannya dengan produk itu sebagai sumbangan peribadinya kepada masyarakat namun berkata bahawa ia tidak akan terhad kepada bidang kesihatan sahaja.

Kami seterusnya mengatakan bahawa rakyat merindui berita mengenainya dan tertanya-tanya bagaimana keadaannya sekarang.

Beliau tersenyum manis lantas berkata:

“Saya bukan selebriti dan kehidupan saya adalah seperti biasa.

“Saya berasal daripada kalangan rakyat biasa, ditakdirkan berkahwin dengan Almarhum (Sultan Salahuddin) dan kini masih lagi bersama rakyat.

“Tidak banyak bezanya, mungkin dahulu lebih sibuk dan kini kurang sibuk.”

Permaisuri Siti Aishah memberitahu, beliau kini banyak meluangkan masa berkualiti bersama keluarganya.

Sememangnya, keakraban beliau dengan kedua-dua ibu bapanya begitu jelas.

Semasa ditemu ramah, mereka sentiasa memberikan kata-kata penyokong kepadanya dan beliau tidak segan silu meminta pendapat serta persetujuan mereka.

Permaisuri Siti Aishah berkata, beliau kini turut mencari inspirasi untuk menghasilkan sesuatu yang dapat memanfaatkan rakyat.

“Apabila sampai masanya nanti saya akan dedahkan apa hasilnya itu. Ia akan direalisasikan dengan kerjasama pihak Utusan,’’ dedahnya.

Dalam pada itu beliau turut mengaku banyak bertindak sebagai ‘pakar latih tidak bertauliah’ bagi kaum keluarga dan rakannya yang memiliki potensi tinggi.

“Contohnya, saya banyak memberi panduan kepada Elly Nur Arafah, 21, untuk membuat kek kahwin dan sebagainya kerana saya mahu melihatnya melakukan yang terbaik,’’ kata Permaisuri Siti Aishah.

Ini, katanya, turut terkandung di dalam minatnya untuk berinteraksi dan membimbing golongan muda.

“Saya mahu mereka menjadi lebih fleksibel dalam semua perkara.

“Mereka perlu sentiasa ingin tahu mengenai kejadian sekeliling dan tidak dikongkong sesiapa atau apa-apa,’’ jelasnya.

Beliau dalam hal ini memuji kebolehan kaum perempuan yang bukan sahaja pandai melakukan multi-tasking tetapi juga berjaya dalam pencapaian pelbagai bidang.

Bagi golongan ‘kurang muda’ pula, Permaisuri Siti Aishah menasihatkan mereka agar tidak sesekali menipu umur mereka tetapi berbangga dengan pengalaman dan pengajaran yang telah diperoleh.

Apabila dipuji mengenai kecantikannya yang begitu menyerlah, beliau berkata rahsianya amat mudah.

“Kita mesti banyak bersyukur dan sentiasa mengingati Allah s.w.t.

“Jika perkara ini diamalkan, insya-Allah, Tuhan akan sentiasa berada di sisi kita,’’ ujarnya.

Setelah puas meniti isu-isu sampingan tersebut dan melihat beliau sudi menjawab segala persoalan, penulis mencuba nasib dengan bertanya sama ada bekas Raja Permaisuri Agong yang kini berusia 35 tahun berminat untuk menamatkan zaman solonya.

Dengan jelas dan tenang, beliau berkata:

“Saya meminta rakyat jelata agar mendoakan kebahagiaan saya termasuk dalam soal mencari jodoh.

“Perkara ini saya serahkan kepada Allah kerana hanya Tuhan yang tahu bila, di mana dan dengan siapa.

“Ia merupakan satu tanda soal yang besar bagi saya kerana saya juga hanya manusia biasa.’’

Tanpa disangka, ayahandanya turut menambah, “Bila, kita tak tahu. Jadi, tunggulah (standby),” dengan ukiran senyuman.

Bagi penulis jawapan itu cukup bermakna kerana dinyatakan tanpa sebarang selindung.

Mungkinkah ia menandakan Permaisuri Siti Aishah akhirnya sudah menemui pasangan di hati?

Hanya masa yang boleh menentukan sama ada ia akan direalisasikan atau tidak.

Dipetik dari Utusan Malaysia.

ULASANKU

Aku tertanya kenapa Permaisuri Siti Aishah selaku mantan Tengku Permaisuri Selangor hanya diberikan gelaran Yang Amat Mulia sesudah kemangkatan Sultan Salahuddin. Padaku, gelaran YAM agak rendah bagi taraf seorang mantan permaisuri negeri dan mantan Raja Permaisuri Agong Malaysia.

Lazimnya gelaran YAM dipakai oleh anakanda sultan. Di Brunei pula gelaran YAM dipakai oleh cucunda sultan.

Sedangkan bonda kandung Sultan Selangor Raja Saidatul Ihsan diberikan gelaran Yang Maha Mulia walaupun beliau bukan bekas permaisuri.

Bukanlah niatku untuk mempersoalkan gelaran Paduka Bonda Raja Selangor. Sebagai bonda sultan memerintah sememangnya beliau berhak. Aku sekadar membuat perbandingan dengan kedudukan Permaisuri Aishah kerana bagiku kedudukan Permaisuri Aishah lebih tinggi.

Lihat di Terengganu. Walaupun Tengku Besar Syarifah Nong adalah bonda kandung Sultan Mizan, tetapi beliau hanya memakai gelaran Yang Teramat Mulia kerana Syarifah Nong bukan bekas permaisuri.

Sebaliknya Tengku Ampuan Bariah memakai gelaran Yang Maha Mulia kerana baginda adalah bekas Tengku Ampuan (permaisuri) Terengganu walaupun Sultan Mizan bukan anak kandungnya.

Namun apa yang berlaku di Selangor adalah sebaliknya. Adakah kerana Permaisuri Aishah adalah orang kebanyakan? atau kerana usianya yang lebih muda?
Hanya Istana Selangor yang lebih tahu.

2 comments:

Ajer said...

YAM Permaisuri Sti Aishah kini bergelar Yang Teramat Mulia Cik Puan Besar Selangor Datuk Amar Siti Aishah binti Abdul Rahman. Cuba rujuk laman web rasmi Darjah Kebesaran Negeri Selangor http://awards.selangor.gov.my/awards/searchlinkstate.php?search=binti

Putra Blog said...

hai redz...
saya ada jawapanya tentang persoalan awak...
yang amat mulia permaisuri siti aishah hanya bergelar yang amat mulia kerana beliau hanya rakyat biasa...dalam undang-undang tubuh kerajaan negeri ada menyebut perihal bekas isteri raja dan gelaran yang akan dipakainya.

1.YANG MAHA MULIA.
gelaran ini hanya boleh dipakai oleh isteri raja berdarah gahara selepas kemangkatan suaminya.yang maha mulia(YMM) juga merupakan gelaran yang paling tinggi selepas DYMM dan DYTM.Selepas kemagkatan suaminya,walaupun beliau tidak berda diatas takhta,beliau masih boleh dipanggil tuanku dan diangkat sembah

2YANG TERAMAT MULIA
Gelaran ini biasanya dipakai oleh isteri pemangku raja pertama yang berdarah gahara selepas kemangkatan suaminya.cth;YTM Raja puan besar perak raja nor izan.
gelaran ini juga dipakai oleh isteri raja yang bukan berdarah gahara dengan syarat raja tersebut masih hidup dan bertkhta.di perak,jika dahulu seseorang rakyat biasa yang berkahwin dengan raja akan digelar yang teramat mulia tengku permaisuri.beliau tidak boleh diangkat sembah dan bergelar DULI.

3.Yang amat mulia pula biasanya dipakai oleh waris-waris negeri(putera-puteri seltan ata raja)yang amat mulia juga satu gelaran yang tinggi.oleh itu tindakan sultan selangor bertepatan sekali.hanya gelaran yang amat mulia saja dapat dipakai oleh permaisuri siti aishah kerana beliau bukan berdah gahara untuk diangkat mejadi yang maha mulia.

kuasa sultan selangor mutlak sepenuhnya,dan baginda memepunyai kuasa dalam peruntukkan untuk mengangkat bondanya sebagai yang maha mulia.